PENGURUSAN KERJA DARI RUMAH YANG PRODUKTIF SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN: COVID-19 | PEJABAT PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN ASET
» ARTIKEL » PENGURUSAN KERJA DARI RUMAH YANG PRODUKTIF SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN: COVID-19

PENGURUSAN KERJA DARI RUMAH YANG PRODUKTIF SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN: COVID-19

WABAK COVID-19 yang melanda seluruh dunia cukup mencemaskan. Ia menjejaskan banyak sektor pekerjaan dan ekonomi, namun ia tidak tidak kita perlu berkompromi dengan produktiviti.

Perintah Kawalan Pergerakan yang turut merangkumi penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara, sudah tentu menyebabkan syarikat dan agensi mencadangkan pekerja bertugas di rumah.

Secara umumnya, bekerja dari rumah mempunyai pelbagai kelebihan seperti masa fleksibel, persekitaran ruang tempat kerja tenang, keseimbangan antara rumah dengan pejabat lebih baik, pelaksanaan lebih efektif dan tidak perlu terbabit dalam kesesakan lalu-lintas.

Namun, beberapa cabaran dan rintangan termasuk ketiadaan sumber fizikal dan kewangan seperti terdapat di ruang kerja lebih besar, tiada struktur organisasi, kurangnya sumber inspirasi dan lebih rasa terasing.

Cabaran paling besar adalah bagaimana untuk lebih produktif di luar daripada struktur organisasi pejabat. Pastinya, beberapa faktor boleh mengganggu produktiviti.

Contohnya masih perlu melakukan dobi, menyediakan hidangan dan membersihkan rumah.

Justeru, penting untuk mempunyai jadual jelas dan berpegang teguh dengan ketetapannya. Elakkan tidur berlarutan terutama selepas sarapan pagi dan bekerja seolah-olah seperti perlu memandu ke pejabat walaupun sebenarnya hanya berjalan ke bilik sebelah di rumah sendiri.

Setiap orang mempunyai cara berbeza. Sesetengahnya boleh bekerja lebih baik dalam keadaan hingar-bingar, sementara yang lain tidak dapat menumpukan perhatian melainkan ruang kerja kemas. Apa yang penting kita masih mengutamakan produktiviti dalam apa juga keadaan.

Berikut tips produktiviti boleh diamalkan. Pertama, mengehadkan ruang kerja pada kawasan tertentu di rumah supaya pekerjaan tidak mengganggu kehidupan ahli rumah lain, sekali gus boleh menumpukan perhatian.

Ini bermakna perlu ada ruang ditetapkan sebagai stesen kerja, bukannya menyemak e-mel, mel suara atau menghantar mesej di hadapan televisyen atau menyelerakkan kerja di atas meja dapur.

Boleh juga mewujudkan ruang zon bebas tekanan untuk membantu menumpukan perhatian. Jika tiada bilik berasingan, cari kawasan mempunyai pergerakan ahli rumah yang minimum atau sudut bilik.

Kedua, elakkan tempat yang mengundang bunyi bising berlebihan daripada ahli rumah. Kajian menunjukkan gabungan muzik lembut dengan bunyi alam seperti air terjun, hujan, sungai atau ombak mengaktifkan bahagian menenangkan otak, sekali gus membantu dalam menumpukan perhatian serta menurunkan kadar jantung dan tekanan darah.

Ketiga, pergi ke tempat sama secara teratur supaya minda tidak menerawang. Wujudkan sempadan psikologi ketat supaya tidak selalu diingatkan godaan sekeliling atau tugas peribadi yang belum selesai - seperti melakukan dobi, menggosok atau memasak - yang menjejaskan produktiviti.

Keempat, tetapkan sempadan fizikal ketat di sekeliling ruang kerja ditetapkan. Sekiranya boleh, hanya ke ruang berkenaan apabila perlu bekerja. Tetapkan jadual biasa dan jaga ruang kerja pada waktu senggang. Cuba kekalkan waktu sama untuk log masuk di pejabat supaya tidak ditelan beban kerja.

Kelima, selepas waktu bekerja, letakkan peranti elektronik dan alat kerja seperti seorang pekerja menyimpan alat pertukangan di stor. Mengekalkan peringatan kerja membuatkan kita dapat berehat dan ‘mengecas semula bateri.’

Keenam, kurangkan pencerobohan peribadi. Adakalanya ahli keluarga, kawan dan jiran menganggap kerja di rumah berbeza. Gangguan dan drop-in boleh menyebabkan kita kehilangan tumpuan, menunda atau melangkaui batas waktu.

Penting untuk mengelakkan pencerobohan ruang kerja dengan memaklumkan kepada orang lain bahawa walaupun lokasi pekerjaan berubah, kita tetap memerlukan privasi dan tumpuan kerja.

Beritahu mereka semasa waktu kerja di rumah, kita tidak bersedia dan tidak boleh terganggu. Biarkan mereka tahu hanya selepas waktu bekerja, kita boleh berhubung.

Ketujuh, manfaatkan komunikasi video lebih daripada biasa khususnya untuk terus berhubung dengan ahli pasukan atau rakan pejabat. Kita boleh membuat panggilan video dan telesidang. Jika sepi, wajar menubuhkan kumpulan sokongan rakan dan rakan sekerja yang juga bekerja di rumah.

Buat rancangan untuk bertemu secara tetap dan kongsi cara kreatif yang disesuaikan dengan situasi baharu.

Namun, apa yang penting elakkan ‘demam rumah.’ Dengan bekerja dan menghabiskan masa tidak seimbang di rumah, mungkin anda perlu keluar sekitar rumah dengan berkebun atau berjalan di sekeliling rumah.

Penyelidikan menunjukkan menghabiskan masa dalam keadaan santai dapat menurunkan tekanan, membantu untuk berehat dan membersihkan fikiran.

 

PENULIS ARTIKEL OLEH :

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi,

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Tarikh Input: 22/04/2020 | Kemaskini: 28/04/2020 | wannoorshidah

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN ASET
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97698888
03-89426471
SXDdQAb~