CABARAN PERLAKSANAAN KONTRAK PRESTASI TENAGA DI UPM | PEJABAT PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN ASET
» ARTIKEL » CABARAN PERLAKSANAAN KONTRAK PRESTASI TENAGA DI UPM

CABARAN PERLAKSANAAN KONTRAK PRESTASI TENAGA DI UPM

Oleh: Hj. Ideris Hadzir

Kontrak Prestasi Tenaga atau lebih dikenali dengan singkatan EPC (Energy Service Contracting) merupakan projek penjimatan tenaga elektrik secara perkongsian keuntungan daripada penjimatan yang terhasil di antara pemilik premis dan Energy Service Company (ESCO).  Kaedah EPC ini agak kurang popular di Malaysia terutama di bangunan-bangunan milik Kerajaan tetapi telah lama dilaksanakan secara meluas di luar negara seperti Thailand, Jepun dan Amerika Syarikat . 

Sejak diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek EPC di Universiti Putra Malaysia (UPM), penulis merasakan ini merupakan cabaran yang besar terutama tiadanya sumber rujukan dari mana-mana sumber terutama di Suruhanjaya Tenaga dan tiada mana-mana universiti di Malaysia yang pernah melaksanakan projek ini.  Sumber rujukan yang ada adalah di Politeknik Merlimau, Melaka yang telah melaksanakan projek EPC sejak beberapa tahun yang lalu melalui kaedah terma rundingan.

Cabaran pertama yang dihadapi adalah bagaimana hendak menyakinkan Pihak Pengurusan UPM bahawa projek EPC ini adalah yang terbaik untuk dilaksanakan.  Terdapat beberapa buah Universiti Awam yang tidak melaksanakan EPC kerana pihak pengurusan tidak bersetuju dengan kaedah perkongsian keuntungan yang diamalkan di dalam EPC.  Sejak bermulanya projek EPC ini, beberapa sesi penerangan berkaitan EPC telah diberikan kepada pihak Pengurusan UPM rentetan dari perubahan pada pucuk pimpinan UPM itu sendiri.  Perkara yang paling mencabar adalah untuk menerangkan kepada Pengurusan UPM berkaitan kaedah perkongsian keuntungan dan bagaimana ia boleh memberi manafaat kepada UPM.  Tambahan pula penerangan berkaitan perkara tersebut dilihat lebih bersifat teknikal dan agak sukar untuk difahami oleh orang bukan teknikal.

Cabaran kedua yang dihadapi adalah mengenalpasti kaedah perolehan yang sesuai di dalam proses pemilihan kontraktor.  EPC merupakan projek baru dan tidak pernah dilaksanakan di mana-mana jabatan Kerajaan dan tiada sumber rujukan berkaitan kaedah perolehan untuk melaksanakan projek EPC.  Oleh kerana projek ini tidak memerlukan sebarang kos maka ia sama sekali berbeza dengan proses tender yang biasa diamalkan di UPM.  Tambahan pula proses perlaksanaan EPC melibatkan beberapa fasa yang mengambil tempoh yang lama iaitu fasa pemilihan ESCO, fasa audit tenaga, fasa rundingan syarat-syarat kontrak, fasa pemasangan alat jimat tenaga dan fasa tempoh penjimatan elektrik.  Pemilihan ESCO secara terus boleh dilakukan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Politik Merlimau kerana ia melibatkan pelaburan dari syarikat ESCO dan UPM tidak mengeluarkan sebarang kos.  Bagaimanapun UPM telah membuat keputusan agar kaedah perolehan projek ini dibuat secara tender terbuka agar ia telus dan disamping itu memberi peluang kepada ESCO bersaing untuk memberi tawaran yang terbaik kepada UPM.  Justeru, proses tender terbuka digunakan untuk memperolehi Request for Proposal (RFP) dimana ESCO perlu membentangkan kaedah-kaedah penjimatan yang hendak dilaksanakan berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh UPM dan semasa sesi lawatan tapak.   Proses untuk merangka draf RFP juga mengambil masa yang agak lama berikutan tiada rujukan daripada mana-mana sumber.  Bagaimanapun terdapat banyak contoh-contoh tender berkaitan EPC di luar negara yang boleh dirujuk di laman web.  Penulis hanya perlu menterjemah ke dalam Bahasa Malaysia dan mengubah tender mengikut kesesuaian di UPM.  Projek EPC ini mengambil tempoh yang lama sehingga lebih 5 tahun dan ini berbeza dengan kaedah perolehan tender yang biasa dilaksanakan oleh UPM.  Turutan proses tender EPC ini adalah bermula dengan perlantikan ESCO, proses Audit Tenaga,  Pembentangan cadangan perlaksanaan oleh ESCO, perjanjian antara UPM dan ESCO, pemasangan alatan jimat tenaga dan seterusnya menikmati penjimatan tenaga elektrik.

       

Cabaran ketiga yang dihadapi adalah untuk mendapatkan persetujuan antara UPM dan ESCO yang dilantik bagi memeterai perjanjian EPC.  Tempoh perbincangan untuk mendapatkan persetujuan di antara kedua pihak mengambil masa agak lama kerana terdapat beberapa terma yang memerlukan persetujuan antara kedua pihak.  Antara terma yang agak sukar untuk mendapat kata putus di antara kedua pihak adalah tempoh pembayaran, caj-caj penalti yang dikenakan sekiranya kedua-dua pihak melanggar terma yang telah ditetapkan, kaedah pengiraan penjimatan yang terhasil dan perkara-perkara yang berkaitan kepentingan universiti secara amnya.  Bagaimanapun masalah-masalah ini dapat diatasi dengan komitmen dari Bahagian Perundangan dari kedua-dua pihak.  Kredit kepada Pejabat Perundang-undangan UPM kerana telah berusaha menjaga kepentingan UPM.

Cabaran keempat adalah mendapatkan kaedah yang sesuai untuk memilih ESCO bagi mengendalikan projek EPC di UPM.  Daripada hasil penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian yang dilantik  mendapati ESCO yang mengambil bahagian tidak mempunyai pengalaman menjalankan projek EPC dari mana-mana Jabatan Kerajaan.  Kesemua ESCO hanya memberi maklumat secara umum  tanpa membuat kajian yang mendalam dan secara spesifik berkaitan kaedah program penjimatan yang hendak dilaksanakan.  Pihak UPM terpaksa memilih ESCO berdasarkan kepada peratus nisbah perkongsian penjimatan serta tempoh kontrak yang ditawarkan oleh pihak ESCO.  Keputusan UPM menetapkan nisbah keuntungan 70:30 dan tempoh selama 5 tahun telah memberi cabaran kepada pihak ESCO untuk merangka program penjimatan yang hendak dilaksanakan. Daripada 3 tender yang dilaksanakan, hanya 2 tender sahaja yang berjaya dilaksanakan manakala 1 tender lagi tidak diteruskan kerana ESCO yang terpilih menarik diri akibat tidak bersetuju dengan terma yang telah ditetapkan oleh UPM.  Sememangnya terma EPC ini menjadi isu dikalangan pemilik premis jika tidak difahami dengan baik.

Cabaran kelima adalah proses untuk mendapatkan kelulusan di peringkat UPM dimana setiap kertas kerja perlu melalui beberapa Jawatankuasa seperti Jawantakuasa Pengurusan Universiti (JPU), Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan Universiti (JKTK) dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).  Tempoh masa antara mesyuarat jawatankuasa tersebut telah menambahkan tempoh perlaksanaan projek ini di UPM.  Bagaimanapun tempoh perlaksanaan projek ini berjaya dipecepatkan setelah pihak Bursar mengecualikan mesyuarat LPU daripada salah satu keperluan kelulusan jawatankuasa.  Ini telah memberi penjimatan tempoh kepada perlaksanaan EPC dan projek ini dapat dilaksanakan dengan segera.

Meskipun berbagai cabaran terpaksa dilalui untuk merealisasikan program EPC di UPM, ia telah memberikan banyak pengalaman-pengalaman berguna di dalam melaksanakan penjimatan tenaga elektrik.  Ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Tenaga terutamanya Tuan Haji Mohd Nizan Jaffar yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar dari mula sehingga kini.  Walaupun tempoh menikmati penjimatan baru bermula di Fakulti Kejuruteraan, ia telah menampakkan hasil dimana penjimatan bil elektrik telah mula dinikmati di fakulti tersebut.  Semoga program EPC di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dapat berjalan lancar dan menghasilkan penjimatan yang tinggi dan seterusnya mengurangkan kos bagi pembayaran bil utiliti UPM, InsyaAllah.

Tarikh Input: 12/01/2018 | Kemaskini: 12/01/2018 | wannoorshidah

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN ASET
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97698888
03-89426471
SXETIAN~